Thursday, October 29, 2009

Selamat Hari Kanak-Kanak

Selamat hari kanak-kanak kepada murid cikgu yang masih kanak-kanak.

Yang paling penting, kita mesti bersyukur. Kenapa cikgu kata kita mesti bersyukur? Jawabnya kerana kita tinggal di Malaysia. Bersyukurlah kerana kalian menjadi kanak-kanak di Malaysia.

Hari ini jika kita menonton televisyen, sudah pasti kita boleh menonton berita tentang pelbagai malapetaka yang sedang berlaku. Ada peperangan di Palestin dan Afghanistan. Ada masalah kebuluran di negara-negara miskin.

Jadi, cuba bayangkan jika kita menjadi sebahagian daripada mereka. Dapatkah kita menyambut Hari Kanak-Kanak dalam suasana yang ceria dan gembira? Tentunya tidak. Bayangkan bagaimana kita dapat menyambut hari kanak-kanak di tengah letupan bom dan peluru? Bayangkan bagaimana kita akan rasa gembira jika orang-orang yang kita sayangi seperti ibu, bapa, kakak, abang, saudara mara dan rakan-rakan kita setiap hari terbunuh?

Cikgu berharap semua murid cikgu sentiasa bersyukur atas rahmat dan nikmat yang ada ini. Oleh itu, sambutlah Hari Kanak-Kanak dengan doa agar semua kanak-kanak di dunia ini, juga akan berasa ceria dan gembira seperti anda semua hari ini.

Guru yang baik ialah pohon yang rendang

Salam Sejahtera

Guru yang baik ialah pohon yang rendang. Apa maksudnya? Maksud cikgu seorang guru yang baik boleh memberikan faedah kepada para pelajarnya. Seperti pohon yang rendang boleh menjadi tempat berteduh, maka guru yang baik boleh menjadi tempat para pelajarnya mendapatkan ilmu pengetahuan.

Pohon yang rendang juga tidak mudah tercabut biarpun dipukul angin ribut. Jadi, guru yang baik juga gagah menghadapi cabaran. Sentiasa berdiri teguh demi para pelajarnya. Dan yang paling penting, seorang guru yang baik mempunyai pengetahuan dan sentiasa mahu berkongsi pengetahuan dengan para pelajarnya.

Oleh sebab itulah, cikgu mewujudkan blog ini. Blog cikgu ini bertujuan untuk berkongsi pengalaman, catatan, ilmu pengetahuan, soal jawab tentang bahasa Melayu dan lain-lain. Jadi, cikgu harap semua orang mendapat manfaatnya.