Monday, November 9, 2009

Kehidupan seperti pasar raya

Selamat sejahtera semua.

Kadang-kadang, kita sering tertanya-tanya, apakah kehidupan.

Bagi cikgu, kehidupan sebenarnya seperti pasar raya. Kita menolak troli, mengambil barang-barang yang kita suka, lalu membayarnya di kaunter.

Jadi, itulah kehidupan. Kita berusaha untuk mendapatkan apa yang kita mahu. Kemudian ingatlah, apa yang kita mahu pasti ada harganya. Tidak ada yang percuma dalam kehidupan. Sebagai contoh, jika kita mahu menjadi seorang juruterbang, maka sudah pasti kita perlu berusaha, belajar dengan bersungguh-sungguh dan tidak kenal putus asa.

Jika kita duduk di hadapan rumah dan berangan-angan untuk menjadi seorang juruterbang, samalah sahaja situasi seperti kita duduk di pasar raya. Tidak ada orang lain yang akan mengambil barang, memasukkannya ke dalam troli kita dan membayar harga barang itu untuk kita!

Saturday, November 7, 2009

Robert Fulton dan Orang di Tepi Tebing

Suatu ketika, Robert Fulton telah berjaya mencipta kawap berenjin wap. Beliau mahu menguji ciptaannya di sungai Hudson. Ketika itu, ramai orang duduk di tepi tebing sungai untuk melihatnya.


"Lihatlah, enjin kapal wap itu tidak akan dapat dihidupkan!" Kata mereka dengan lantang.


Mendengar kata-kata tersebut, Robert Fulton terus menghidupkan enjap wap kapalnya. Enjin tersebut dapat dihidupkan. Perlahan-lahan, kapal walnya bergerak di tengah sungai Hudson.

Pada pendapat anda, apakah pula yang akan dikatakan oleh yang duduk di tebing sungai itu? Adakah mereka akan memuji Robert Fulton dan memberikan tepukan? Jawabnya adalah tidak.

"Lihat," kata mereka, "pasti kapal tersebut tidak dapat dihentikan!"

Lalu, Robert Fulton menghentikan kapalnya. Kapal tersebut berhenti di tengah-tengah sungai.

Ada satu pengajaran yang boleh kita kutip daripada cerita ini. Dalam dunia ini, ada dua golongan. Golongan yang pertama sentiasa berfikir secara negatif. Mereka ialah orang yang duduk di tepi tebing sungai. Mereka hanya tahu melemparkan kritikan negatif. Kelak dunia akan melupakan mereka.

Golongan yang kedua ialah mereka yang berpandangan positif. Robert Fulton termasuk dalam golongan ini. Golongan ini sentiasa berfikiran positif dan berani menghadapi cabaran. Golongan inilah yang sentiasa mencipta sejarah dan menjadi lagenda.

Jadi, antara kedua-dua golongan ini, anda mahu berada dalam golongan yang mana?

Tuesday, November 3, 2009

Jika anda, siapakah yang paling anda sayangi?

Puan Azna mempunyai tiga orang anak. Anaknya yang pertama bernama Abu. Anaknya yang kedua bernama Aminah manakala anaknya yang ketiga bernama Ali.

Pada suatu pagi, Abu bangun daripada tidur. Di ruang tamu, dia melihat ibunya sedang menyapu sampah.

"Saya sayang ibu," kata Abu sambil memeluk ibunya. Kemudian dia terus pergi ke halaman rumah bermain-main.

Kemudian, anaknya yang kedua, iaitu Aminah pula bangun. Aminah terus menuju kepada ibunya lalu memeluknya dan mencium pipi ibunya. Sambil itu, Aminah berkata: "Saya sayang ibu."

Selepas itu, Aminah terus ke halaman rumah. Bermain-main dengan Abu.

Tidak lama kemudian, datang pula Ali. Dia menyapa ibunya.

"Saya sayang ibu," kata Ali sambil mencium dan memeluk ibunya. Kemudian, Ali mengambil penyapu dan menyapu halaman rumah mereka.

Pada pendapat kamu, antara Abu, Aminah dan Ali, siapakah yang paling menyayangi ibu mereka?